Sejarah Silat Lintau PPSSLM

Melayu tak hilang di dunia

Semangat Silat dan Padi Pulut

Posted by Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintau Malaysia di Februari 25, 2011

Tulisan : Tn Hj Anuar Abd Wahab A.M.N

Silat merupakan antara ilmu seni bela diri manusia yang tertua yang diciptakan dan diamalkan oleh nenek moyang bangsa Melayu seiring dengan bahasa, kesenian, rumah, perahu, senjata, pakaian, permainan, kepercayaan, pantang larang dan adat istiadat berteraskan sosio budaya Melayu. Kemudian Silat berkembang berhamburan bersama penghijrahan rumpun bangsa Melayu ke seluruh pelosok alam Melayu. Sejak itulah orang Melayu celik Silat, setiap suku kaum Melayu menggubah rupa dan bentuk Silat sesuai dengan keperluan, budaya dan kepercayaan mereka. Walaupun hingga ke hari ini wujud ribuan kumpulan Silat dengan pelbagai nama, namun masih mengekalkan ciri-ciri Silat.

Silat di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Pertama Silat Melayu tradisi atau Silat asli ialah Silat Melayu tradisi yakni Silat asli tempatan iaitu jenis ilmu seni beladiri yang diamalkan oleh orang Melayu di Semananjung Tanah Melayu dikenali sebagai Silat pulut atau gayung pulut. Kedua Silat Melayu klasik atau Silat lama iaitu jenis Silat dari rumpun bangsa Melayu yang telah lama menetap dan berkembang di Malaysia, tetapi memiliki badan induk yang berdaftar di negara asalnya seperti Silat Minangkabau ialah Silat asli orang Melayu keturunan Minangkabau di Minangkabau dan berdaftar di bawah IPSI Sumatra Barat. Demikianlah dengan Silat Jawa, Silat Kurinci, Silat Lintau, Silat Teralak, Silat Kuantan, Silat Bugis dan lain-lain mengekalkan ciri-ciri masyarakat daerah asalnya yang telah tergolong dalam keluarga pencak Silat Indonesia. Ketiga Silat Melayu moden atau Silat baru iaitu kumpulan atau perguruan Silat hasil gubahan tokoh Silat yang banyak mempelajari dan berpengalaman dalam pelbagai Silat dan ilmu seni beladiri bukan Silat. Penggubahan Silat baru kerap menggunakan teknik paduan dan diperkukuhkan dengan falsafah, konsep dan kaedah dari pelbagai ilmu seni bela diri bukan Silat.

Berbalik kepada Silat Melayu tradisi atau Silat asli Malaysia terdiri daripada dua jenis iaitu Silat Melayu dan seni beladiri kaum peribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bezanya ilmu Silat Melayu telah tersusun, manakala ilmu seni beladiri kaum peribumi masih diamalkan di kalangan suku kaum mereka dan belum tersusun sebagaimana Silat. Bagaimana pun kedua ilmu seni beladiri ini pernah melahirkan pahlawan tradisi dan moden yang pernah menabur bakti kepada bangsa dan negara menentang penjajah Inggeris, Jepun dan Komunis. Kedua ilmu seni bela diri tersebut wajar diiktiraf sebagai seni bela diri asli bangsa Malaysia atau Silat Malaysia.

Silat M elayu tradisi telah berkembang kepada beberapa kumpulan, antara kumpulan yang paling berjaya ialah Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) yang diiktiraf sebagai anggota badan pendiri PESAKA Malaysia. PSGFM ialah nama organisasi untuk tujuan pendaftaran, bukan nama Silat baru. Pertubuhan ini berusaha membangunkan dan menyatukan para guru dari pelbagai kumpulan Silat yang sealiran dengannya. Usaha tersebut tidak semudah yang disangkakan, setidak-tidaknya PSGFM berjaya meningkatkan kurikulum Silat Melayu tradisi gelanggang bangsal kepada satu kurikulum Silat Malaysia moden untuk kegunaan bersama. Dengan itu masyarakat dapat mengenali, mempelajari dan mengamalkan Silat dengan yakin tanpa waswas.

Sejak sekian lama ilmu dan amalan Silat hanya diperturunkan secara `perturun tangan’ yakni dari tangan ke tangan atau dari guru kepada murid sebagaimana sastera lisan dari mulut ke mulut. Oleh sebab ketiadaan catatan bertulis tentangnya, maka dari masa ke semasa banyaklah bahagian yang telah hilang. Hingga timbul ungkapan sinis,`guru simpan buah’ yang menempelak guru sorok ilmu. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana hanya itulah yang diwariskan kepadanya. Sekiranya inginkan ilmu dan amalan Silat yang selebihnya, belajarlah dari guru yang lain.

Sejak zaman dahulu lagi, bukan sebarangan orang boleh mengajar Silat. Bukan semua orang belajar Silat boleh menjadi guru Silat melainkan mereka yang diiktiraf oleh guru dari sesuatu perguruan Silat. Silat tidak boleh direka-reka. Lainlah untuk tujuan tari, sukan, lakonan, persembahan atau pertandingan Silat. Misalnya hulubalang Melayu seperti Hang Tuah pun berguru dan kerap disebutnya `dengan berkat guruku’. Ketika tertentu Hang Tuah membukanya `pestaka’, buku atau kitab yang di dalamnya terdapat ilmu Silat dan ramalan yang sulit dihafal.

Sejak kehadiran pelbagai seni bela diri dari luar, maka timbullah pemikiran untuk memodenkan Silat. Melalui pelbagai maklumat, didapati beberapa jenis ilmu seni bela diri bangsa timur seperti Taekwondo (Korea), Wuhyu/Kungfu (Cina), Tomoi (Thailand), Aikido, Karatedo, Judo, Kendo (Jepun), Silambam, Kalaripayat (India) dan Pencak Silat (Indonesia) telah melalui proses permodenan sama ada mengekalkan tradisinya atau menggunakan teknik paduan sejajar dengan keperluan, budaya dan kepercayaan. Penggubah diangkat menjadi Sifu atau Mahaguru yang amat berpengaruh.

Kebanyakan perguruan Silat baru lebih menjurus kepada keperluan seni beladiri dengan meninggalkan beberapa ciri Silat seperti pergendangan, bunga Silat, tapak empat dan tempur seni Silat pulut . Silatnya lebih ringkas, mudah diterima masyarakat dan cepat popular kerana pengaruh falsafah dan konsep dari bahan bacaan seni bela diri timur. Sejak kewujudan pelbagai bentuk Silat di Malaysia, bermulalah percanggahan makna Silat, masing-masing mengatakan ilmu persilatan mereka asli dan ampuh dari yang lain yang berkesudahan dengan cabar-mencabar dan mengaibkan perguruan lain. Walhal Silat telah lama diciptakan dan orang Melayu sudah lama celik Silat.

Pada awal tahun 60an hingga 90an amalan cabar-mencabar dan mengaibkan perguruan lain dilakukan dalam persembahan mereka. Ketika itu terdapat perguruan Silat baru yang mempermain-mainkan buah keputusan beberapa perguruan lain dengan tujuan untuk menyakinkan pengamal Silatnya dapat menjatuhkan lawan dari perguruan tersebut..

Akhir tahun 90an ramailah guru tua Silat Melayu meninggal dunia dan kumpulan Silat pulut semakin pupus. Bangsal Silat setengahnya dah roboh. Murid bercempera, hilang tempat bergantung dan tidak berupaya meneruskan perguruan kerana tidak diperturunkan ilmu persilatan yang selengkapnya. Ada yang membuka perguruan baru, menganggotai perguruan lain yang sesuai dengan jiwanya atau terus mengamalkan ilmu Silat dari apa yang seadanya.

Memandangkan Silat Melayu semakin tersepit di tengah pengaruh pelbagai ilmu seni bela diri dari luar di negaranya sendiri. Maka PSGFM telah mengambil langkah memperkasakan Silat Melayu dengan menterjemahkan rahsia ilmu persilatan Melayu seperti yang terdapat dalam kurikulum Silat Melayu tradisi gelanggang bangsal kepada kurikulum Silat Malaysia moden yang menjadi dasar membentuk sukatan pelajaran Silat dan rancangan mengajar Silat bagi membantu pengajaran dan pembelajaran Silat serta ujian penilaian Silat yang setara dan telus.

Usaha mewujudkan kurikulum Silat bukan semudah yang disangkakan kerana tujuan asal ialah menyatukan kumpulan Silat Melayu di bawah satu organisasi dan mengiktiraf kaedah pendidikan Silat tradisi gelanggang bangsal mengikut budi bicara para guru Silat. Memandangkan PSGFM telah mula berkembang di seluruh negara dan beberapa negara antarabangsa. Maka terdapat dua pendirian ahli kumpulan pertama terus mengekalkan kaedah pendidikan Silat tradisi gelanggang bangsal mengikut budi bicara guru Silat yang menjadi ahli. Kumpulan kedua wajar mewujudkan satu kurikulum Silat moden yang standard bagi membantu jurulatih Silat melaksanakan perkhidmatan pendidikan Silat secara setara dan telus. Selaku Guru Utama, Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab mengambil jalan tengah iaitu mengekalkan keaslian Silat Melayu dengan mewujudkan satu kurikulum Silat moden berdasarkan kandungan kurikulum Silat tradisi gelanggang bangsal Matlamat akhir pendidikan Silat masih sama iaitu malahirkan pendekar sebagai insan mahir Silat yang seimbang pada zahir dan batin dari aspek amalan dunia dan akhirat.

Kurikulum Silat membantu Silat Malaysia dan PSGFM berkembang di peringkat antarabangsa. Ramai jurulatih dari Perancis, Austria, Switsland, Thailand, Algeria dan lain-lain telah mengikuti kursus kejurulatihan Silat PSGFM dan mengembang Silat di negara masing-masing. Kurikulum Silat membolehkan aliran Silat Malaysia menyaingi pencak Silat Indonesia dan pelbagai ilmu seni bela diri bukan Silat di bebarapa negara di peringkat antarabangsa.

Sudah 40 tahun (1968-2008) cabar-mencabar dan mengaibkan perguruan lain dalam persembahan sudah menjadi isu basi. Masyarakat Malaysia telah kembali celik Silat. Ramai tokoh dan pencinta Silat berminat membicarakan tentang keistemewaan Silat Melayu yakni Silat asli tempatan versi Malaysia yang dikenali sebagai Silat pulut atau gayung pulut. Masyarakat generasi muda tidak janggal menyarung baju Silat dan mengamalkan Silat sebagai seni bela diri warisan bangsa Malaysia

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.